Berita Semasa

Mahu tukar pemandu atas jambatan, seorang penunggang motosikal maut dilanggar

GEORGETOWN – Seorang penunggang motosikal maut berlanggar dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7.4 Jambatan Pulau Pinang menghala Seberang Perai dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.35 petang itu, pemandu Perodua Alza berkenaan dipercayai membelok ke lorong kecemasan bagi menukar pemandu sebelum berlanggar dengan motosikal terbabit, menurut laporan BH Online.

Kejadian menyebabkan lelaki menunggang motosikal berusia 38 tahun itu maut di tempat kejadian berikutan kecederaan parah di badan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid mengesahkan kejadian berkenaan.

“Proses bedah siasat mangsa dijalankan hari ini di Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Razlam berkata, pemandu Alza berusia 22 tahun itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur manakala mangsa dalam perjalanan ke Butterworth.

“Ketika kejadian, masing-masing memandu di lorong kiri jambatan berkenaan.

“Bagaimanapun, pemandu Alza tiba-tiba memasuki lorong kecemasan yang menyebabkan perlanggaran dengan penunggang motosikal.

“Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya.

Terdahulu tular rakaman video papan pemuka sebuah kereta yang menunjukkan sebuah kereta menukar lorong dari kiri ke lorong kecemasan di atas jambatan itu.

Show More

Related Articles

Back to top button