Berita SemasaSukan

Hannah bertekad upayakan bekas atlet bantu atlet sekarang, akan datang jadi legasinya

Turut bertekad untuk meletakkan individu yang sebetulnya bagi mengemudi persatuan atau pertubuhan sukan

PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bertekad usaha mengupayakan bekas atlet dalam membantu atlet negara sekarang dan akan datang menjadi legasinya.

Oleh kerana itu, jelasnya, berdasarkan mandat dipegang, beliau telah melantik beberapa bekas atlet ke jawatan tertentu dalam persatuan dan pertubuhan sukan.

“Saya percaya, bekas atlet memahami sukan dan keperluan atlet. Dalam Jawatankuasa Road To Gold (RTG), saya mempunyai tiga bekas atlet utama untuk membantu saya, iaitu (Datuk) Lee Chong Wei, (Datuk) Nicol David dan (Datuk) Mirnawan Nawawi.

“Dalam Majlis Sukan Negara (MSN), saya mempunyai Olimpian Suriaghandi Suppiah dan (Datuk) Lee Chong Wei untuk membantu saya, manakala di Institut Sukan Negara Malaysia (ISN), saya mempunyai Datuk Marina Chin dan (Datuk) Nicol David untuk membantu saya,” kata Hannah dalam satu hantaran di akaun rasmi Facebook miliknya, hari ini.

Selain itu, Hannah turut melantik bekas atlet seperti Farah Ann, Jeffrey Ong dan Soo Beng Kiang bagi menganggotai Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Nurul Huda Abdullah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Safe Sports, dan Datuk Seri Windsor John dari Konfederasi Bola Sepak Asia (Perbadanan Stadium Malaysia) dan Datuk Stuart Ramalingam (Koordinator RTG) sebagai Pentadbir Sukan.

“Dalam Olimpik Paris 2024, saya berjaya meluangkan banyak masa dengan Datuk Nicol David, Timbalan Ketua Misi kami yang telah melakukan tugas yang cemerlang menyokong atlet kami.

“Beliau melakukannya dengan sangat meyakinkan. Saya berharap beliau akan terus membantu saya dalam pembangunan negara melalui pembangunan sukan,” kata Hannah.

Kata Hannah seterusnya, beliau turut bertekad untuk meletakkan individu yang sebetulnya bagi mengemudi persatuan atau pertubuhan sukan negara sebelum mandat dipegangnya tamat.

Tambahnya, buat masa ini, keanggotaan pertubuhan atau persatuan ditentukan menerusi pemilihan atau undi ahli persatuan, atau dilantik oleh menteri.

“Mereka yang dipilih oleh orang lain, saya tidak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan.

“Itu dilakukan melalui proses demokrasi dan kita mesti menghormatinya. Saya hanya boleh menyingkirkan mereka yang saya lantik,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button