Berita SemasaSukan

Che Sayang dianugerah ‘Creator of The Year’ TikTok Awards Malaysia

KUALA LUMPUR – Pencipta kandungan masakan ringkas, Che Sayang dinobat sebagai ‘Creator of The Year’ di TikTok Awards Malaysia, di sini malam tadi.

Che Sayang atau nama sebenarnya, Abdul Qayyum Khalid yang dikenali dengan siri ‘Dua minit Satu Resipi’ itu menewaskan lima pencabar lain yang turut tercalon dalam kategori sama.

“Perasaan saya memang sebak. Sekarang pun masih tak percaya lagi. Sebab saya tahu calon-calon yang lain sangat hebat, banyak sumbangan mereka dalam penciptaan kandungan ini.

“Tapi saya cakap dengan pasukan saya, daripada kita mengalah, kita bekerja lebih keras,” katanya, malam tadi.

Che Sayang menewaskan lima pencabar lain iaitu Ryan Bakery, Sofyank, Shi Qi, Daddy Hood dan Sofea Shra.

Beliau yang juga seorang jurutera data menyifatkan kejayaan itu adalah hasil sokongan peminat dan keluarga khususnya ibu beliau atas perkongsian resipi yang diwarisi.

Biarpun baru sahaja mula berkecimpung dalam dunia penciptaan kandungan tahun lalu, itu tidak menjadi penghalang buat Che Sayang menghasilkan ratusan video masakan yang mampu menarik perhatian penonton sehingga membawanya ke tahap ini.

“Sebelum ini saya dah berniaga banyak benda dan banyak yang tak jadi. Kemudian pada tahun 2023, saya kata saya akan kembali, walau apa jadi pun, saya nak buat sampai jadi,” katanya lagi.

Majlis anugerah pada tahun ini turut memperkenalkan kategori istimewa iaitu ‘Changemaker of The Year’ bagi mengiktiraf pencipta kandungan yang memberi impak besar serta positif kepada komuniti.

Ia diraih Brader Wheelchair atau Nur Izhar Idham, individu orang kurang upaya (OKU) yang giat menyebarkan kesedaran tentang kemudahan OKU di negara ini selain ianya turut diraih Lokohopunoh (LKP) Group.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada TikTok dan TV3 atas anugerah ni. Ada juga pihak yang menghargai hasil usaha saya selama ini. Terima kasih juga untuk kawan-kawan dan geng kerusi roda saya,” ucap Nur Izhar Idham.

Tiktok Awards Malaysia yang berlangsung di ibu negara malam tadi dianjurkan buat tahun kedua bagi menghargai bakat dan karya pencipta kandungan tempatan.

Show More

Related Articles

Back to top button