Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Caliph Academy tawar pengajian takaful awal tahun depan

KUALA LUMPUR – Bersandarkan pengalaman selama lebih 20 tahun dalam bidang takaful, Caliph Academy akan memperkenalkan program pengajian bidang takaful melalui kerjasama dengan UTM Space Sdn. Bhd, (USSB).

Kerjasama antara Caliph Academy dengan USSB itu dimeterai kedua-dua pihak dalam satu majlis perjanjian persefahaman (MoU) yang berlangsung di sini, semalam.

Pengarah Caliph Life Sdn Bhd, Mohd Hamzavi Md Zain berkata, program itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai khususnya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menceburi bidang takaful sebagai kerjaya profesional.

Katanya, gabungan pengalaman yang dimiliki Caliph Academy dengan kepakaran akademik dan fasiliti oleh USSB akan menawarkan satu program pengajian yang komprehensif dan diyakini meliputi aspek etika kerja, jualan, pengembangan kerjaya dan profesionalisma.

“Pada masa ini kami di peringkat akhir untuk memperhalusi modul, silibus pengajian, akreditasi kursus dan menentukan piawaian supaya usaha ini berjaya dengan cemerlang, ” katanya.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd. Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif UTM Space Sdn. Bhd, (USSB), Dr. Mercy Trinovianti Mulyadi.

Dr. Mohd Shafry Mohd. Rahim (tengah) menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Dr. Mercy Trinovianti Mulyadi (dua dari kanan) dengan Mohd Hamzavi Md. Zain (dua dari kiri) di Kuala Lumpu, semalam.Mohd Hamzavi berkata, program pengajian takaful yang akan dilancar pada suku pertama tahun depan itu mensasarkan kemasukan seramai 2,500 pelajar bagi kumpulan pertama dan setiap tahun.

“Kursus selama empat bulan sehingga dua tahun ini juga bergantung kepada bentuk pengajian yang ditawarkan dan diikuti dengan program latihan industri.

“Selain pengajian takaful, Caliph Academy juga akan memberi penekanan kepada pembelajaran mengenai ekonomi, komunikasi, etika dan tata hias (grooming), perhubungan awam dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata, tanpa mengenakan syarat kemasukan yang terlalu ketat, pihak juga berharap program itu dapat memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang ‘tercicir’ dari institusi pengajian tinggi awam menceburi bidang itu.

Bahkan katanya, program berkenaan juga menawarkan peluang lanjutan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di luar negara seperti di London.

“Mereka (pelajar) juga tidak semestinya memilih kerjaya sebagai ejen takaful selepas tamat pengajian kerana masih boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang lain seperti ekonomi, perakaunan, kewangan dan komputer sains.

“Misalnya kita juga mengalu-alukan kemasukan pelajar-pelajar tahfiz untuk menceburi bidang ini,” katanya.

Mohd Hamzavi berkata, pelancaran program takaful itu merupakan sebahagian daripada objektif penubuhan Caliph Academy untuk membangun dan melahirkan bakat-bakat muda dalam bidang takaful.

“Kerjaya dalam bidang takaful menawarkan ganjaran pendapatan yang lumayan sekiranya dilakukan dengan betul.

“Langkah terbaik adalah dengan bermula dengan awal dan betul,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button