Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Bayi maut jatuh tali air, tiga individu diambil keterangan

BACHOK – Tiga individu diambil keterangan berhubung kematian seorang bayi perempuan yang ditemukan lemas dipercayai tercampak selepas motosikal roda tiga ditunggang bersama bapa sepupunya terbabas ke dalam tali air di Kampung Tok Belian, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, tiga individu berkenaan adalah penunggang motosikal yang merupakan bapa sepupu mangsa, pemilik motosikal dan bapa mangsa.

“Pada hari ini juga, ibu bapa kepada mangsa dan kanak-kanak itu dipanggil untuk diambil keterangan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dibuat dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan segera,” katanya kepada BH Online hari ini.

Media semalam melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang kelmarin mangsa, Mariam Afeeya Abdul Hakim ditemui di dasar sungai oleh Pasukan Bomba Balai Bomba Bachok pada kedalaman empat meter dari lokasi kejadian pada jam 8.10 malam.

Siasatan mendapati, kejadian berlaku apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun membawa lima lagi kanak-kanak menaiki sebuah motosikal roda tiga menghala ke rumah melalui jambatan Kampung Tok Belian.

Apabila tiba di kawasan tali air, motosikal roda tiga itu dipercayai hilang kawalan menyebabkan mangsa yang dipercayai dipegang oleh abang kandungnya berusia lapan tahun tercampak ke dalam tali air.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button