Sukan

Azizulhasni dibatalkan penyertaan: Hakim tidak akan berani batalkan kelayakan pelumba dari Barat – KJ

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan keputusan membatalkan penyertaan Datuk Azizulhasni Awang dalam acara keirin, lelaki Olimpik Paris adalah tidak patut memandangkan amaran boleh diberikan, bukannya pembatalan serta-merta.

Berkongsi pengalaman beliau semasa acara akhir keirin di Olimpik Rio 2016, Khairy berkata, terdapat beberapa atlet yang melakukan ‘false start’ atau salah mula.

“Yang pertama melibatkan Jason Kenny dari Great Britain bersama Azizulhasni dan yang kedua melibatkan Joachim Eilers dari Jerman.

“Ketiga-tiga mereka dinilai telah mengatasi ‘derny’ iaitu penunggang motosikal yang mengemudi perlumbaan,” katanya dalam satu kenyataan di Instagram malam tadi.

Khairy berkata, kontinjen Malaysia bernasib baik kerana bukan Azizulhasni seorang sahaja yang mengatasi ‘derny’, malah seorang penunggang basikal Inggeris dan Jerman juga dinilai melakukan perkara yang sama.

Jelas bekas Menteri Belia dan Sukan itu, para hakim tidak akan berani membatalkan kelayakan pelumba basikal dari negara Barat.

“Sudah tentu, mereka semua telah diberi amaran tetapi dibenarkan untuk memulakan perlawanan akhir. Kenny meraih emas dan Azizul meraih gangsa.

“Apa yang berlaku malam ini adalah satu kesilapan. Tetapi terdapat contoh yang jelas bahawa amaran boleh diberikan dan bukannya kehilangan kelayakan serta-merta,” katanya selepas penyertaan bintang berbasikal trek negara dibatalkan kerana didakwa memotong derny sebelum ia keluar dari gelanggang perlumbaan, malam tadi.

Sementara itu, Azizulhasni dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, beliau berdepan dengan himpitan agresif daripada pelumba Perancis semasa perlumbaan.

Jelas beliau, halangan yang dilakukan terhadapnya itu dibuat secara sengaja sehingga berlaku berlanggaran dan hampir menyebabkan beliau terjatuh.

“Tidak cukup dengan itu beliau masih mengekori rapat di sebelah dan masih cuba memberikan himpitan kedua dan di dalam keadaan seperti itu reaksi saya adalah bergerak ke depan untuk mengelak dari beliau,” katanya.

Azizulhasni berkata, keadaan menjadi bertambah buruk apabila situasi menyukarkan beliau untuk menyesuaikan kelajuan dengan ‘derny’ iaitu penunggang motosikal yang mengemudi perlumbaan.

Lebih mengejutkan katanya, kelajuan derny ketika itu lebih perlahan daripada kelajuan biasa.

“Sebagai seorang pelumba keirin yang elite, kita tahu kelajuan untuk pacer sebelum keluar. Biasanya di lap terakhir pacer akan memecut keluar selepas melepasi selekoh empat dari kelajuan 50-55kmh.

“Akan tetapi pada perlumbaan saya tadi pacer bergerak lebih perlahan berbanding speed sebenarnya dan tidak memecut keluar selepas selekoh empat,” katanya.

Status penyingkirannya kekal meskipun Pengurus Pasukan, Izham Mohammad dan John Beasley telah memohon penilaian semula melalui rakaman video.

Dalam pada itu, Azizul meminta rakyat Malaysia memberi sokongan dan doa kepada rakan sepasukan, Shah Firdaus Shahrom yang bakal beraksi pada peringkat suku akhir bagi acara yang sama.

Show More

Related Articles

Back to top button