Jenayah & Mahkamah

Polis bongkar taktik pengedar seludup dadah ke penjara guna dron

TAPAH – Taktik menyeludup barangan merbahaya disyaki dadah dengan menggunakan dron ke dalam penjara berjaya dibongkar pihak berkuasa berikutan penemuan alatan tersebut di Penjara Tapah Road, di sini semalam.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 5 petang, semalam.

Beliau berkata, seorang kakitangan penjara membuat laporan polis selepas menemukan sebuah dron berwarna putih di atas bumbung salah sebuah blok penjara.

“Dron berkenaan dijumpai ketika kakitangan penjara bersama anggota lain membuat rondaan pada hari yang sama kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan susulan laporan dibuat pengadu, polis menemukan satu beg dobi yang digantung pada dron terbabit,” katanya.

Pemeriksaan lanjut ke atas beg tersebut menemukan satu paket plastik lut sinar yang mengandungi tiga paket plastik berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin.

“Dadah jenis heroin berat kira-kira 122 gram, manakala dua paket plastik lut sinar pula berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 12.9 gram.

“Hasil pemeriksaan awal, modus operandi yang digunakan untuk membawa masuk dadah ke dalam penjara dengan menggunakan dron merupakan kes pertama diterima setakat ini,” katanya lagi.

Azizi berkata, pihak polis memandang serius dengan aktiviti penyeludupan dadah dan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh ke atas penjenayah kes penyeludupan dadah.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(1) ADB 1952.

Show More

Related Articles

Back to top button