Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Perak catat pengeluaran tertinggi kerang-kerangan dengan lebih 14,469 tan metrik

IPOH – Perak mencatatkan pengeluaran tertinggi kerang-kerangan di Malaysia pada tahun lalu dengan hasil sebanyak 14,469.28 tan metrik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kerajaan negeri terus memberikan tumpuan kepada pembangunan kawasan pengeluaran kerang yang mampan bagi memastikan bekalan mencukupi dan berkualiti tinggi, selaras dengan matlamat Perak Sejahtera 2030.

“Setiap tahun, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi menabur induk kerang untuk memastikan kelestarian pengeluaran kerang di Perak,” katanya semasa merasmikan Fiesta Ikan Perak 2024 di sini, hari ini.

Tambah beliau, Perak juga merupakan antara pengeluar utama ikan di negara ini dengan pengeluaran sebanyak 407,794.9 tan metrik atau 22.8 peratus, menjadikan negeri ini sebagai pengeluar kedua terbesar selepas Sabah.

Beliau turut memaklumkan bahawa program inventori sumber perikanan telah berjaya dilaksanakan di sepanjang Sungai Perak untuk mengenal pasti kepelbagaian spesis yang terdapat di perairan negeri.

“Pihak Jabatan Perikanan telah merekodkan jumlah pelepasan benih ikan asli yang hampir mencecah lapan juta ekor, termasuk benih ikan lampam, ikan baung, jelawat, kelah, terbul, kerai dan benih udang galah,” katanya lagi.

Mengulas mengenai Fiesta Ikan Perak 2024, Mohd Zolkafly berkata program tersebut diharapkan mampu membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat selain mendidik masyarakat tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber perikanan untuk generasi akan datang.

 

Show More

Related Articles

Back to top button