Berita SemasaPolitik

Lebih 1,000 ahli BERSATU di Jeli keluar parti

JELI – Lebih 1,000 pemimpin dan ahli BERSATU daripada lapan cawangan di Jeli, Kelantan, mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa hari ini.

Keputusan tersebut diambil berikutan hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti serta kelemahan BERSATU dalam percaturan politik, terutama dalam isu pemilihan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Antara cawangan BERSATU yang terlibat ialah Lawang, Asahan, Batu Gajah, Kedai Kuala Balah, Legeh, Nibong, Jedak Tua dan Kubur Datu, yang kini dianggap ‘terkubur’ selepas kesemua ahlinya keluar parti.

Bekas Timbalan Ketua Cawangan BERSATU Kedai Kuala Balah, Rodzi Muhammad berkata, keputusan itu dibuat secara sukarela tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

“Bersama saya hari ini termasuk tiga ahli jawatankuasa (AJK) BERSATU Jeli, lapan ketua cawangan BERSATU dan Penolong Setiausaha Srikandi BERSATU Jeli mengumumkan perletakan jawatan kami berkuat kuasa serta-merta.

“Keputusan itu kami ambil secara sukarela dan tiada paksaan serta tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Sehubungan itu, lapan cawangan dan 18 cawangan Srikandi mengumumkan pembubaran di cawangan BERSATU terbabit,” katanya pada sidang media di Jeli, seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau menambah bahawa keyakinan mereka terhadap BERSATU telah terhakis sama sekali dan parti itu tidak lagi dianggap sebagai parti dominan orang Melayu yang boleh diharapkan.

“BERSATU dilihat begitu lemah, terutama dalam pemilihan calon PRK DUN Nenggiri, di mana BERSATU jelas dipermainkan dan digula-gulakan oleh PAS. Kami amat malu dan tercabar dengan kesilapan percaturan ini.

“Kami melihat Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih berkarisma dan berdaya maju,” katanya lagi.

Rodzi turut menyatakan bahawa buat masa ini, mereka tidak menyertai mana-mana parti namun menyokong Kerajaan Perpaduan.

Show More

Related Articles

Back to top button