Berita SemasaPM X

[VIDEO] PM terima permohonan maaf Meta – Fahmi

Berharap kejadian sama tidak berulang lagi

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima permohonan maaf daripada Meta Platforms Inc (Meta) berhubung tindakan menurunkan hantaran ucapan takziah di akaun Facebook dan Instagram miliknya susulan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan turut berharap supaya kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.

@malaysiatribune

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima permohonan maaf Meta kerana menurunkan hantaran di akaun Fb dan Insta miliknya, namun berharap supaya kejadian sama tidak berulang. #malaysiatribune

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

“Saya ada berhubung dengan Perdana Menteri dan beliau sendiri ada mengambil maklum permintaan maaf daripada Meta dan Perdana Menteri memaklumkan sahabat-sahabat beliau termasuk di Timur Tengah sudah membaca berita tersebut, bermaksud ia sudah sampai ke seantero dunia,” katanya.

Fahmi berkata demikian pada sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Dalam pertemuan bersama Meta semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menuntut syarikat gergasi teknologi terbabit memohon maaf secara terbuka atas tindakan mereka menurunkan ucapan takziah Perdana Menteri susulan pembunuhan bekas Perdana Menteri Palestin tersebut.

Pada masa sama, PMO juga menuntut Meta memberikan penjelasan terperinci atas tindakan mereka itu.

Mengulas lanjut, menurut Fahmi, dalam pertemuan itu juga, beliau meminta pihak Meta supaya tidak berat sebelah dengan memastikan Perdana Menteri diberikan taraf serupa dengan ketua kerajaan lain di seluruh dunia.

“Sekiranya ada ‘track’ tertentu untuk mereka meneliti, maka beliau (Perdana Menteri) patut diberi layanan yang sama, jangan ada setengah negara diperlakukan sedemikian rupa, jangan ada ‘double standard’,” katanya.

Beliau juga memohon pihak Meta berhubung dengan PMO dari semasa ke semasa untuk memberikan maklumat terkini mengenai garis panduan syarikat itu sekiranya berubah khususnya mengenai isu geopolitik.

“Sebagai contoh pada satu ketika, perkataan ‘syahid’ juga tidak dibenarkan dalam Meta tetapi kami dimaklumkan akibat usaha yang dipelopori pasukan yang kami jumpa semalam, perkataan-perkataan seperti ‘syahid’ tidak lagi menjadi isu,” katanya lagi.

Sementara itu, Fahmi turut kesal dengan tindakan Meta yang umpama tidak bersedia untuk mengadakan pertemuan, semalam.

“Saya lihat apabila mereka hadir semalam, mereka tidak bersedia untuk menjawab isu teknikal yang dibangkitkan malah mereka tidak ketahui jumlah kandungan di laman Facebook dan Instagram Perdana Menteri yang telah diturunkan.

“Apabila dibangkitkan oleh PMO, barulah mereka terkial-kial mencari maklumat tersebut,” kata Fahmi lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button