Berita Semasa

Pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal bukti KPKT komited laksana agenda ekonomi kitaran

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus mengorak langkah dalam usaha pemerkasaan agenda ekonomi kitaran demi menjamin kemampanan sumber alam, daya tahan ekonomi dan kelestarian alam sekitar di negara ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, keadaan semasa menunjukkan bahawa Malaysia masih bergantung kepada ekonomi linear bersifat konvensional yang tidak mampan.

Justeru itu, kata beliau, satu tindakan segera dan drastik perlu dilakukan dalam konteks peralihan ke arah ekonomi kitaran bagi menangani masalah tersebut.

Kor Ming berkata, banyak negara telah membangunkan dasar dan perundangan berkaitan ekonomi kitaran bagi mengatasi ‘Triple Planetary Crisis,’ yang merangkumi pencemaran, kehilangan biodiversiti dan perubahan iklim.

“Kesatuan Eropah (EU) telah menerima pakai rangka kerja dasar yang dipanggil Pelan Tindakan Ekonomi Kitaran (CEAP) pada tahun 2020 untuk semua negara anggota untuk mengurangkan pembaziran dan menggalakkan kecekapan sumber.

“China memperkenalkan Undang-undang Promosi Ekonomi Kitaran pada tahun 2008 yang memfokuskan kepada simbiosis industri, kitar semula dan kecekapan sumber.

“Jepun menguatkuasakan dua akta penting, “Promotion of Sorted Collection and Recycling of Containers and Packaging Act” seawal tahun 1995 dan “Sound Material-Cycle Society Act” pada tahun 2000.

“Singapura, juga telah meluluskan Akta Kelestarian Sumber yang menyasarkan sisa elektronik, sisa makanan dan sisa pembungkusan,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berucap sebelum merasmikan Persidangan Ekonomi Kitaran di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan Persidangan Ekonomi Kitaran yang julung kali dianjurkan oleh KPKT dengan tema “Membina Masa Depan yang Mampan” di ibu negara, hari ini.

Persidangan yang mengumpulkan seramai 400 peserta terdiri daripada wakil agensi Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, pihak industri dan persatuan, NGO serta ahli akademik itu adalah bertujuan mendapatkan maklumat terkini, berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai pembangunan ekonomi kitaran bagi sektor sisa pepejal.

Dalam majlis tersebut, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melancarkan
Blueprint (Pelan Tindakan) Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal (2025-2035) sempena Persidangan Ekonomi Kitaran anjuran KPKT.

Pelan tindakan itu menetapkan visi Malaysia dalam mencapai transformasi ekonomi kitaran bagi pengurusan sisa pepejal yang memaksimumkan kecekapan sumber dan meminimumkan penjanaan sisa, sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kemampanan alam sekitar menjelang tahun 2050.

Selain itu, pelan tindakan itu juga akan menjadi dokumen rujukan untuk semua pemegang taruh bagi membantu melaksanakan inisiatif-inisiatif yang dapat mempercepatkan peralihan kepada ekonomi kitaran dalam sektor sisa pepejal berasaskan lima tonggak strategik, 20 inisiatif, pelan tindakan komprehensif dan garis masa yang ditetapkan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (dua kiri) melawat reruai pameran sempena Persidangan Ekonomi Kitaran hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, Malaysia tidak boleh ketinggalan dan oleh sebab itu, kerajaan telah mengutamakan kemampanan sebagai tonggak utama rangka kerja Malaysia Madani.

“Fokus ini mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pendekatan holistik dan seimbang dalam melindungi alam sekitar, memupuk pertumbuhan ekonomi, dan menggalakkan kesejahteraan sosial.

“Dengan mengamalkan ekonomi kitaran, adalah besar harapan kami agar Malaysia dapat membangun dengan makmur dan mampan,” katanya.

Kor Ming menambah, pelaksanaan ekonomi kitaran dilihat turut mampu mengurangkan kebergantungan kepada sumber asli, mengurangkan penjanaan sisa, serta meminimumkan kesan negatif kepada alam sekitar.

“Ia seterusnya akan membantu negara mencapai sasaran pelepasan karbon sifar sisa bersih menjelang 2050.

“Pendekatan ini juga menawarkan faedah ekonomi dengan mencipta peluang perniagaan baharu dan mempromosikan inovasi serta pewujudan pekerjaan baharu,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button