Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Gobind pecah tanah KUL Vantage Data Centres

CYBERJAYA – Menteri Digital Malaysia, Gobind Singh Deo hari ini merasmikan majlis pecah tanah kampus baru KUL2 Vantage Data Centres.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada Vantage Data Centres atas pencapaian dan kehadiran syarikat itu di negara ini yang membuktikan keyakinan pelabur luar terhadap kemampuan digital dan potensi masa depan negara.

Gobind berkata, Malaysia akan terus menarik pelaburan kerana mempunyai lokasi strategik, persekitaran perniagaan yang baik, dasar kerajaan yang menyokong dan rangkaian Internet yang baik.

“Ledakan e-dagang semasa pandemik Covid-19 telah meningkatkan permintaan terhadap trafik data dan penyimpanan, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pasaran pusat data di Malaysia dijangka mencapai 13.92 peratus dari 2023 hingga 2029.

“Antara 2021 dan 2023, Malaysia meluluskan pelaburan sebanyak RM114.7 bilion untuk pusat data dan perkhidmatan awan,” katanya dalam ucapan perasmian di sini hari ini.

Gobind juga memuji usaha Kerajaan Madani dalam membangunkan infrastruktur digital yang kukuh, termasuk kejayaan rangkaian 5G yang meliputi lebih 81.8% kawasan berpenduduk.

“Pemuktamadan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang diramal membuka nilai sehingga USD$2 trilion untuk ekonomi digital ASEAN menjelang 2030.

“Pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 akan memberikan perlindungan yang lebih baik terhadap data peribadi,” katanya lagi.

Kampus baru KUL2 dijangka meningkatkan infrastruktur digital Malaysia dan menyediakan keupayaan menyokong penggunaan cloud dan teknologi AI yang lebih canggih, serta peluang untuk keusahawanan dan penciptaan pekerjaan.

Gobind turut mengucapkan terima kasih kepada Vantage Data Centres atas komitmennya di Malaysia dan menantikan usaha berterusan mereka dalam memajukan ekonomi digital negara.

Show More

Related Articles

Back to top button