Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Dua pegawai kanan pertubuhan disyaki terima rasuah RM14,000

SEREMBAN – Dua pegawai kanan sebuah pertubuhan di negeri ini direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM14,000.

Rasuah itu dipercayai sebagai dorongan melantik dan mendapatkan kerja pembekalan peralatan serta kelengkapan komputer untuk pertubuhan tersebut.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 12 Ogos 2024 telah dikeluarkan oleh Majistret Syed Farid Syed Ali setelah permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Jenayah 2, di sini pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an itu ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.

“Kedua-dua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara Januari hingga Mac 2023 dengan memperoleh suapan secara pindahan wang ke akaun bank masing-masing”.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek telah meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM14,000 daripada pembekal sebagai dorongan melantik dan mendapatkan kerja pembekalan peralatan serta kelengkapan komputer untuk pertubuhan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Tuan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Show More

Related Articles

Back to top button