Sukan

Azizulhasni teruja beraksi di Olimpik terakhirnya esok

PARIS – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang tidak sabar lagi untuk beraksi dalam penampilan terakhirnya di Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut pelumba yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman itu, beliau akan turun ke trek esok untuk memulakan cabaran negara.

“Saya sangat teruja untuk memulakan pertandingan esok untuk Olimpik kelima dan terakhir saya.

“Mewakili kontinjen Malaysia merupakan pengalaman paling tidak dapat dilupakan dalam kerjaya saya,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.

Tumpuan Malaysia kini terarah kepada jaguh berbasikal trek negara itu dalam misi merealisasikan impian memenangi pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024.

Ia selepas skuad badminton yang turut diletakkan sandaran sebelum ini menutup tirai dengan dua pingat gangsa.

Dengan reputasi selaku pemenang pingat gangsa di Olimpik Rio 2016 dan perak di Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin, pelumba berusia 36 tahun itu menjadi taruhan terbaik kontinjen negara bagi menjelmakan kilauan emas.

Selain Azizulhasni, cabaran skuad berbasikal trek negara turut akan digalas Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang akan memulakan cabaran di Velodrom Saint Quentin en Yvelines Velodromem, esok.

Show More

Related Articles

Back to top button