Berita Semasa

Wakil META dipanggil beri penjelasan sekatan atas akaun FB, Insta PM

PUTRAJAYA – Wakil pengendali media sosial, Meta Platforms Inc (META) hari ini dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri untuk memberi penjelasan berkenan tindakan menyekat beberapa hantaran di Facebook dan Instagram Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Difahamkan, gangguan berlaku sekali lagi malam tadi ke atas siaran langsung sempena Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Sebelum ini, hantaran ucapan takziah dikongsi Perdana Menteri kepada Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang terbunuh di Tehran, Iran minggu lalu turut diturunkan.

Menurut portal BH Online, wakil META dipanggil memberi penjelasan kerana Perdana Menteri sendiri mahu mendengar penjelasan lanjut berhubung beberapa tindakan gangguan serta sekatan ke atas akaun media sosialnya itu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil minggu lalu memaklumkan, META sedang menyiasat berhubung sekatan itu.

Fahmi berkata, syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu juga memberitahu agak keliru dengan sekatan itu, namun tiada penjelasan lanjut diberikan.

Semakan di akaun Facebook Anwar sebelum ini mendapati, tiga hantarannya bagi mengutuk pembunuhan Haniyeh dan berkongsi gambar pertemuan dengan pemimpin Hamas itu diturunkan daripada aplikasi media sosial berkenaan.

Gambar yang diturunkan itu memaparkan Anwar bersama pemimpin Hamas, turut disertakan dengan kapsyen ‘Dangerous individuals and organisations’.

Instagram pula memaklumkan hantaran gambar itu diturunkan kerana mengandungi ‘simbol, pujian atau sokongan ke atas orang dan pertubuhan yang kami takrifkan sebagai bahaya’.

Show More

Related Articles

Back to top button