Berita Semasa

‘Tindakan Meta satu bentuk diskriminasi, sekat kebebasan berpandangan’ – PMO

PUTRAJAYA – Pejabat Perdana Menteri (PMO) sudah bertemu dengan wakil Meta Platforms Inc (Meta) hari ini bagi menuntut penjelasan terkait tindakan penurunan beberapa hantaran di platform Facebook dan Instagram milik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertarikh 14 Mei dan 30 Julai lalu.

Menurut Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO, turut hadir dalam pertemuan itu adalah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Dalam pertemuan tersebut, PMO menzahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta menurunkan hantaran Perdana Menteri menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap Asy Syahid Ismail Haniyeh yang dibunuh baru-baru ini.

“PMO melihat tindakan Meta itu sebagai satu bentuk diskriminasi, sikap tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan.

“Ia juga adalah penghinaan terhadap perjuangan sah rakyat Palestin menuntut keadilan dan hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Dalam pertemuan sama, PMO turut menyatakan rasa kesal dengan insiden sekatan siaran langsung menerusi Facebook melibatkan akaun Berita RTM yang menyiarkan Himpunan Pembebasan Palestin, malam tadi.

“Keputusan unilateral untuk menapis kandungan tanpa pertimbangan terhadap konteks hantaran, jelas menimbulkan persoalan tentang ketelusan dalam dasar penapisan kandungan Meta.

“Kami turut menegaskan bahawa tindakan menurunkan hantaran ini telah memberi kesan mendalam kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang memahami penderitaan rakyat Palestin dan menentang kezaliman rejim Zionis Israel seperti terpahat dalam lipatan sejarah,” kata PMO lagi.

Sehubungan itu, PMO berkata, pihaknya menuntut Meta memberi penjelasan terperinci berhubung tindakan-tindakan yang diambil, serta permohonan maaf secara terbuka daripada mereka.

“Seperti yang telah dijanjikan di dalam pertemuan ini, satu kenyataan media akan dikeluarkan oleh pihak Meta dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button