Politik

PRK Nenggiri: 43 kertas undi pos dikeluarkan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 43 kertas undi pos kepada yang berhak untuk mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan, hari ini.

Menurut Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, pengeluaran kertas undi pos dilakukan oleh petugas pilihan raya yang dilantik pegawai pengurus dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon yang bertanding.

“Kertas undi pos yang telah dikeluarkan adalah terdiri daripada 41 undi pos Kategori 1A (Petugas Pilihan Raya dan Anggota Polis) dan 2 undi pos bagi Kategori 1C (Agensi dan Organisasi).

“Kesemua anggota polis terlibat dalam PRK ini telah dikeluarkan kertas undi pos. Oleh itu, tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada 13 Ogos nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada katanya, SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2), serta segera mengembalikannya kepada pegawai pengurus berkenaan sebelum pukul 5 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 17 Ogos ini.

Katanya, pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi
masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.

Show More

Related Articles

Back to top button