Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Pelaburan digital Malaysia meningkat pesat pada separuh pertama 2024

KUALA LUMPUR – Pelaburan digital negara mencatat peningkatan ketara pada separuh pertama tahun ini dipacu oleh keyakinan pelabur serta unjuran pertumbuhan ekonomi negara yang dijangka mencapai empat peratus hingga lima peratus tahun ini.

Di bawah inisiatif Malaysia Digital (MD) yang diterajui oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), pelaburan digital yang diluluskan melonjak kepada RM66.22 bilion pada separuh pertama (H1 2024).

Perkembangan itu menunjukkan pertumbuhan dan ketahanan ekonomi digital yang memberangsangkan walaupun menghadapi ketegangan geopolitik global.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pencapaian itu adalah signifikan kerana angka H1 2024 telah melebihi nilai pelaburan digital sepanjang tahun 2023 sebanyak RM46.2 bilion.

“Aliran masuk pelaburan ini telah menghasilkan 25,498 pekerjaan pada separuh pertama 2024, melebihi angka 22,258 yang dicatatkan sepanjang tahun 2023.

“Sektor digital terus menjadi kuasa utama dalam mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi,” katanya dalam satu siaran media hari ini.

Gobind berkata, dalam aspek eksport digital, setakat Jun 2024, usaha kementeriannya melalui kerjasama dan program padanan perniagaan MDEC telah memperoleh peluang eksport bernilai lebih daripada RM1.936 bilion.

“Ini melibatkan 228 syarikat di 11 negara termasuk Indonesia, Filipina, Kemboja, Türkiye, Sepanyol, Arab Saudi, Jepun, Taiwan, Kenya, Tanzania dan United Kingdom.

“Peningkatan ini melebihi 43 peratus daripada nilai peluang eksport untuk separuh pertama 2023 sebanyak RM1.353 bilion.

“Inisiatif DEX Connex MDEC di Filipina dan Indonesia serta misi perniagaan telah menyumbang kepada jumlah peluang eksport yang ketara untuk separuh pertama 2024,” katanya lagi.

Gobind berkata, pusat data dan syarikat ‘cloud’ menyumbang sebahagian besar nilai pelaburan digital merentas semua sektor.

Syarikat Teknologi Maklumat (Infotech) dan Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) mendahului dalam penciptaan pekerjaan digital, dengan syarikat berlumba-lumba untuk menubuhkan pusat kecemerlangan dan operasi GBS bernilai tinggi di Malaysia.

“Pada H1 2024 juga, sebanyak 451 syarikat teknologi dianugerahkan Status MD dan menubuhkan perniagaan mereka di Malaysia, jauh melebihi jumlah keseluruhan 2023 iaitu 256 syarikat.

“Daripada 451 syarikat ini, 39% adalah syarikat asing yang menyumbang kepada pelaburan langsung asing (FDI), manakala 61% adalah syarikat tempatan,” katanya lagi.

Menurut beliau, syarikat yang mempunyai Status MD layak mendapat pelbagai insentif, hak dan keistimewaan daripada kerajaan, tertakluk kepada kelulusan dan pematuhan syarat yang berkenaan.

“Faedah termasuk insentif cukai yang kompetitif, pengecualian cukai import serta jualan ke atas pengimportan peralatan multimedia, akses kepada pekerja berpengetahuan tempatan dan asing, pengecualian daripada keperluan pemilikan tempatan, dan akses kepada fasilitasi pembiayaan.

“Angka-angka ini menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat daripada pelabur domestik dan antarabangsa serta syarikat teknologi terkemuka dalam ekosistem digital Malaysia yang berkembang pesat.

“Berdasarkan momentum ini, Kementerian Digital komited untuk mendorong pertumbuhan selanjutnya dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam landskap digital ASEAN dan global,” katanya lagi.

Gobind menegaskan, kementeriannya bersama-sama semua agensinya akan menjalin kerjasama strategik dengan industri dan pihak berkepentingan utama yang lain untuk mencipta destinasi pelaburan yang kompetitif dan bertaraf dunia, selari dengan aspirasi Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan pelan tindakan seperti Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MDEB) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

Show More

Related Articles

Back to top button