PM, Srettha lawat Rantau Panjang, Sungai Golok hari ini
KOTA BHARU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan bertemu Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin dalam lawatan kerja ke Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Golok, Narathiwat, Thailand hari ini.
Memetik laporan Bernama, tujuan utama lawatan itu adalah untuk menilai kemajuan projek naik taraf jambatan menghubungkan Rantau Panjang-Sungai Golok, iaitu satu daripada inisiatif utama kesalinghubungan sempadan kedua-dua negara.
Projek pembinaan jambatan kedua dikenali sebagai Jambatan Kembar di Rantau Panjang-Sungai Golok itu dijangka akan dimulakan pada April tahun depan.
Jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok bakal dilengkapi dengan enam lorong, sekali gus memudahkan pergerakan keluar masuk kenderaan antara Malaysia dan Thailand.
Selain itu kedua-dua pemimpin itu juga dijangka bakal mengadakan perbincangan mengenai isu keselamatan negara dan usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi di dua wilayah itu.
Lawatan Anwar dan Srettha hari ini adalah susulan pertemuan bersama di Sadao, Thailand pada November lalu yang mempamerkan komitmen kedua-dua negara untuk memupuk hubungan sesama rakyat dan mempertingkatkan aktiviti ekonomi di sepanjang kawasan utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand.