Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Penoreh getah warga emas maut diserang gajah

PUTRAJAYA – Seorang warga emas yang mengambil upah menoreh getah dipercayai maut diserang gajah dalam kejadian di Kampung Sri Lukut, Kahang, pagi tadi.

Mangsa, Misirah Soliman ditemui oleh seorang pekerja Indonesia, sekitar pukul 8 pagi tadi dan disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Kahang.

Anak mangsa Norlaili Salleh, 49, berkata, sebelum itu memang ada kejadian gajah masuk kebun dan memakan anak pokok getah dan kelapa sawit berdekatan rumah keluarganya.

Menurutnya, keluarganya reda dengan kejadian itu dan berharap pihak berkuasa seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat mengambil tindakan supaya kejadian sama tidak berulang.

“Dahulu, memang ada orang datang tengokkan, Perhilitan datang, memang ada banyak kali.

“Nak kata tak buat kerja, sudah buat kerja, hujung (kampung) itu hutan simpan, mungkin sebab gajah kekurangan makanan kerana banyak hutan diterokai, jadi seperti ini,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Katanya, jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seri Lukut, Kahang, hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button