Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Kerajaan buka semula siasatan kes Teoh Beng Hock

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk membuka semula siasatan terhadap kematian mendiang Teoh Beng Hock.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau memberi jaminan bahawa siasatan baharu itu akan dijalankan dengan telus dan adil, bebas daripada campur tangan luar dan akan mengambil kira penemuan Mahkamah Rayuan pada 5 September 2014.

“Saya telah mendengar permintaan daripada keluarga dan telah mengikuti kes ini dengan teliti untuk jangka masa yang lama.

“Saya sangat memahami perjuangan panjang keluarga untuk mendapatkan keadilan bagi mendiang.

“Keputusan kerajaan untuk meminta pihak polis membuka semula siasatan terhadap kematian mendiang Beng Hock,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Anwar bertemu dengan ahli keluarga Beng Hock di Putrajaya, termasuk ibu bapa mendiang, Teng Shuw Hoi dan Teoh Leong Hwee, anak mendiang, Teoh Er Jia dan adik-beradiknya, Teoh Lee Lan.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 29 Oktober untuk menyampaikan keputusan terhadap permohonan semakan kehakiman oleh keluarga Beng Hock mengenai kematiannya.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan yang sama.

Pada tahun 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyimpulkan bahawa kematiannya sebagai bunuh diri berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

Show More

Related Articles

Back to top button