Berita SemasaJenayah & Mahkamah

60 warga asing dicekup dalam operasi sindiket lesen perniagaan ‘Ali Baba’ di Puchong

PUCHONG – Seramai 60 orang warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pusat Perniagaan Kinrara, Puchong, Selangor, semalam.

Operasi mengejut yang bermula pada pukul 11.50 pagi itu berjaya membongkar kegiatan warga asing yang
menggunakan lesen perniagaan milik warga tempatan atau ‘Ali Baba’.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, JIM tidak akan berkompromi dengan warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas di negara ini.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Serbuan ini hasil daripada risikan selama seminggu dan aduan awam yang diterima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi ini melibatkan 92 pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Antara yang dicekup adalah 11 lelaki, 10 wanita dan 1 kanak-kanak lelaki warga Indonesia, 21 lelaki, 1 wanita dan 1 kanak-kanak lelaki warga Bangladesh, 1 lelaki dan 4 wanita warga Myanmar, 2 lelaki dan 1 wanita warga Sri Lanka, 6 lelaki warga Pakistan serta 12 lelaki warga India.

Mereka disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Selain itu, 14 warga tempatan serta seorang lelaki India (MyPR) yang merupakan majikan di 17 premis perniagaan turut ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua yang ditahan berusia antara tujuh bulan hingga 61 tahun.

Semua warga asing (60) yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk siasatan lanjut.

Operasi ini menunjukkan komitmen JIM dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin dan memastikan keselamatan serta ketenteraman negara terpelihara.

Show More

Related Articles

Back to top button