Berita Semasa

Weber Meyer tawar Ezy WiFi serendah RM5

KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan Internet, Weber Meyer Sdn. Bhd. menawarkan pakej internet jalur (WiFi) dikenali sebagai Ezy WiFi serendah RM5 yang kini boleh dilanggan di sekitar Lembah Klang.

Ketua Pegawai Operasi Weber Meyer, Leslie David berkata, tawaran pakej tersebut mampu membantu kerajaan dalam usaha mengurangkan beban rakyat menerusi langganan WiFi yang berpatutan.

Katanya, dengan rangkaian 7G dan kelajuan 1Gbps yang ditawarkan, pelanggan boleh melayari internet dengan lebih lancar berbanding sebelum ini di kawasan yang mempunyai liputan.

Menurut beliau, syarikat itu menjangkakan seramai 10,000 pelanggan membeli pakej WiFi berkenaan kerana kelebihan yang ditawarkan bakal memberi kemudahan untuk jangka masa panjang.

“Melalui Ezy WiFi, terdapat tiga pelan iaitu RM5 bagi satu hari; RM20 (satu minggu) dan RM50 selama sebulan di mana setiap pakej ini menawarkan rangkaian 7G di kawasan yang mendapat liputan.

“Malah lebih menarik apabila pelanggan tidak perlu terperangkap dengan sebarang kontrak, pemasangan, tiada deposit dan boleh digunakan pada bila-bila masa bergantung kepada keadaan kewangan pelanggan.

“Sekiranya pelanggan tidak mampu membayar WiFi, mereka tidak perlu berhutang seperti sebelum ini. Perkara ini mampu memberi pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan kerana boleh merancang kewangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media memperkenalkan tawar pakej WiFi 7G serendah RM5 iaitu termurah dan terpantas keluaran Weber Meyer di negara ini di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Operasi Weber Meyer, Leslie David.

Tambah Leslie, pihaknya kini dalam perancangan untuk mengembangkan perkhidmatan itu ke negeri lain, termasuk Sabah dan Sarawak, menjelang pertengahan tahun depan.

“Kami percaya dengan pakej semurah RM5 mampu memberi kelegaan kepada ramai pihak khususnya golongan B40, pelajar, dan juga pekerja yang mempunyai kewangan yang terhad untuk perbelanjaan internet.

“Hanya pilih pelan yang sesuai dengan kegunaan seharian, pelanggan kini boleh berjimat tanpa perlu terbabit dengan hutang dan pada masa sama dapat menikmati perkhidmatan internet yang lancar,” katanya.

Perkhidmatan jalur lebar baharu Weber Meyer buat masa ini tersedia untuk kegunaan di kediaman berbilang penyewa seperti pangsapuri, kondominium dan rumah berkelompok.

Show More

Related Articles

Back to top button