Bisnes & Ekonomi

Usahasama ICTCC, HDC: 300 PKS bakal terokai pasaran halal China menjelang hujung tahun ini

KUALA LUMPUR – Sebanyak 300 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini dijangka menembusi pasaran halal di China menjelang hujung tahun ini.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, International Cultural Trade Collaboration Centre (ICTCC) dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) mengumumkan usahasama strategik ke arah usaha memperkasa industri halal negara.

Kerjasama strategik antara ICTCC dengan HDC iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangandan Industri (MITI), bakal menghubungkan PKS dengan pelbagai peluang perdagangan dan rangkaian perniagaan di China.

Pengerusi ICTCC, Datuk Suhaidi Sulaiman berkata, diasaskan dengan visi untuk meningkatkan industri halal pada skala global, ICTCC menyediakan PKS dengan akses kepada ekosistem pasaran digital, ruang simpanan gudang bebas cukai, peluang pembiayaan perniagaan, padanan perniagaan B2B dan B2C serta peluang-peluang lain di pasaran China dan lain-lain negara.

“ICTCC berada di Zon Ekonomi Bebas, Beijing Daxing International Airport (Langfang) dan bakal dipenuhi syarikat-syarikat PKS mulai September 2024 dan dijangka beroperasi secara penuh pada November ini,” kata beliau.

ICTCC merupakan inisiatif korporat swasta yang ditubuhkan melalui beberapa entiti perniagaan dan pertubuhan melibatkan Syarikat Cangkat Cendana Group Sdn. Bhd. Topwork Global (M) Sdn. Bhd. Persatuan Muafakat One Belt One Road dan Global Networks (Beijing) IIC Services Co. Ltd.

Terdahulu, sempena pengumuman kolaborasi strategik tersebut, ICTCC yang diwakili oleh Datuk Suhaidi turut menyerahkan sumbangan bernilai RM50,000 kepada HDC sebagai rakan strategik Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, China sememangnya merupakan destinasi eksport produk halal yang utama iaitu RM6.25bilion atau bersamaan 11.6 peratus daripada RM54 billion eksport halal negara pada tahun 2023.

“Kerajaan melalui MITI dan HDC sentiasa berusaha untuk meningkatkan jumlah PKS berstatus Halal yang berupaya mengeksport ke negara yang mempunyai jumlah penduduk Muslim yang tinggi ini menerusi pelbagai platform seperti akses pembiayaan, pasaran, latihan, perundingan dan pemasaran digital,” katanya.

Mengulas dengan lebih lanjut, Pengarah Eksekutif ICTCC, Fad Izham berkata, ICTCC memainkan peranan utama dalam memfasilitasi akses PKS kepada pasaran halal di China melalui beberapa inisiatif strategik.

Katanya, antara sokongan yang diberikan termasuk menyediakan platform bagi menghubungkan pengusaha dengan pelbagai peluang perdagangan dan rangkaian perniagaan di China.

“Sokongan yang yang kita akan berikan merangkumi semua semua berkaitan perniagaan dan antaranya adalau usaha sama, bengkel, pembiayaan bagi mematuhi kehendak pasaran China.

“Kita juga sudah mengenal pasti rakan strategik kita contohnya salah satu syarikat yang buat pasar malam yang sangat besar yang mana merangkumi RM10 juta,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button