Jenayah & Mahkamah

Sindiket Pas IMM13: SPRM tahan reman dua pegawai agensi penguat kuasa

SANDAKAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan reman dua pegawai agensi penguat kuasa kerana disyaki terlibat dalam pengeluaran pas lawatan IMM13 di daerah ini.

Perintah reman selama enam hari sehingga 6 Ogos ini telah dikeluarkan oleh Majistret Nur Faezah Jafry terhadap suspek pertama yang berusia 50-an setelah permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sandakan pagi tadi.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Tawau, Majistret Don Stiwin Malanjum telah mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 7 Ogos ini kepada suspek kedua yang berusia 30-an.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki telah ditahan sekitar jam 5.30 petang hingga 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan dan Tawau.

“Tangkapan terbaharu ini adalah susulan daripada tangkapan dua beranak berkaitan kes yang sama pada Jumaat lalu.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang direman hari ini dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2022 dan ia melibatkan nilai rasuah kira-kira RM20,000.

“Kedua-dua suspek juga dipercayai melakukan perbuatan tersebut bersama orang tengah dalam menguruskan lanjutan permohonan pas lawatan IMM13 kepada pelarian Filipina yang datang berlindung di Sabah akibat pergolakan sekitar awal 1970-an,” katanya.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan kejayaan ini adalah hasil risikan SPRM Sabah.

Show More

Related Articles

Back to top button