Semua masjid di bawah JAKIM laksana solat ghaib
PUTRAJAYA – Semua masjid di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menunaikan solat jenazah ghaib susulan kematian pemimpin sayap politik Hamas, Ismail Haniyeh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, arahan telah dikeluarkan kepada Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail berhubung perkara itu.
“Saya kini berada di Kaherah dan arahan telah dibuat.
“Kita dapatkan maklumat dulu. Jika dah dimandikan, saya minta semua Masjid Jakim dan Jawi untuk mengadakan solat ghaib,” katanya dalam laporan portal Sinar, hari ini.
Terdahulu, agensi berita antarabangsa melaporkan, bilik hotel Ismail di Tehran diserang individu bersenjata menyebabkan beliau dan seorang pegawainya syahid.
Allahyarham berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu republik Islam itu Masoud Pezeshkian, semalam.