PM X

PM Anwar kutuk pembunuhan Ismail Haniyeh

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembunuhan ini ternyata sangat tragik dan kejam yang jelas bertujuan untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza yang telah meragut lebih dari 40,000 nyawa.

“Saya berduka atas kehilangan seorang sahabat yang akrab dan tokoh pejuang sejati rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pembunuhan besar-besaran ini hanya boleh berlaku dimungkinkan dengan tanggapan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dipertanggungjawabkan dan dihukum.

“Hanya mereka yang tiada sifat kemanusiaan sahaja yang tidak menyedari keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim biadab Zionis Israel bagi menghentikan pembantaian.

“Rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya, dan saya amat bimbang tentang nasib mereka susulan pembunuhan saudara Ismail,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, mereka yang telah mengkritiknya saat beliau bertemu Ismail sebelum ini telah gagal menghargai keinginan mendalam almarhum untuk sebuah Timur Tengah yang aman dan pembentukan sebuah negara Palestin yang tertegak dengan maruah dan kebebasan.

Terdahulu, Hamas mengumumkan bahawa ketua biro politiknya terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di ibu negara Iran, Teheran, lapor media antarabangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button