Berita Semasa

Malaysia kutuk sekerasnya pembunuhan Ismail Haniyeh

PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh serta seorang pengawal peribadinya di Tehran, hari ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, Malaysia tanpa ragu-ragu mengutuk semua tindakan keganasan, termasuk pembunuhan yang disasarkan, dan menggesa semua negara yang cintakan keamanan untuk turut sama mengecam tindakan tersebut.

“Malaysia mengucapkan takziah dan menzahirkan simpati kepada ahli keluarga, serta barisan kepimpinan dan rakyat Palestin.

“Insiden ini menekankan keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan dan memperkukuhkan keperluan semua pihak untuk terlibat dalam dialog knstruktif dan mencari penyelesaian damai,” kata Wisdma Putra dalam kenyataan tersebut.

Malaysia turut menggesa supaya satu siasatan segera dan menyeluruh terhadap pembunuhan ini diadakan, dan mereka yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan.

Pada masa yang sama, semua pihak turut digesa untuk bersikap tenang sementara fakta-fakta mengenai pembunuhan ini sedang dikenalpasti.

“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin, dan tetap komited untuk menyokong perjuangan mereka bagi keadilan dan penentuan nasib sendiri.

Malaysia turut mengiktiraf peranan dan sumbangan Allahyarham Ismail Haniyeh dalam usaha membebaskan Palestin dan rakyatnya dari penjahajan haram Israel,” kata kenyataan itu lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button