Berita Semasa

KPN cadang penubuhan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Masyarakat India

PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) mencadangkan penubuhan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Masyarakat India bagi menentukan hala tuju program-program pembangunan masyarakat India di negara ini.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Sarawathy Kandasami berkata, penubuhan majlis yang dicadang untuk dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu penting dalam penentuan sebarang keputusan berhubung dasar, pengurusan dan peruntukan digunakan MITRA.

Beliau berkata, melalui Pelan Tindakan Hala Tuju MITRA itu juga, kementerian berharap dapat mengurus peruntukan yang diberikan kerajaan secara lebih bersasar dan berfokus, sekaligus memberi impak yang lebih berkesan.

“Penetapan matlamat ini penting bagi memastikan setiap bantuan yang disalur dapat memberi manfaat yang diingini terutama kepada golongan masyarakat B40.

“Ini kerana MITRA pada setiap tahun menerima peruntukan RM100 juta bagi tujuan penganjuran program-program pembangunan dan transformasi ekonomi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tambah Sarawathy, MITRA perlu mengambil pendekatan holistik bagi memastikan program dilaksanakan sesuai dengan hala tuju agensi berkenaan dan mencadangkan agar struktur organisasi MITRA disusun semula.

“Mitra kini di bawah kawal selia Jabatan Perdana Menteri sejak April lalu, namun pelan tindakan hala tuju ini disediakan oleh KPN kerana Mitra sebelum ini diletakkan di bawah kementerian ini pada Januari hingga Mac lalu,” katanya.

Selain itu, pelan tindakan tersebut juga mencadangkan penubuhan akaun amanah MITRA bagi membolehkan baki peruntukan tidak dibelanjakan pada tahun semasa diselaraskan ke dalam akaun berkenaan.

Dalam pada itu, Sarawathy memaklumkan kementeriannya telah melantik syarikat Pemandu Associates Sdn. Bhd. sebagai perunding bagi membantu membangunkan kajian dan merangka hala tuju MITRA, pada 7 Mac lalu.

“Perkara ini telah dimaklumkan dan mendapat maklum balas yang positif dari Perdana Menteri.

“Kajian telah dilakukan oleh syarikat ini terhadap keberkesanan program-program yang telah dilaksanakan sebelum ini dengan mendapatkan maklum balas dari masyarakat.

“Hasil kajian juga telah dimasukkan ke dalam satu laporan penuh yang mengenal pasti isu-isu sosio ekonomi masyarakat India untuk kita teliti penyelesaiannya,” katanya.

Untuk rekod, Pelan Tindakan Hala Tuju MITRA dibangunkan berdasarkan empat teras utama: Pembangunan Modal Insan; Pembangunan Keusahawanan dan Kerjaya; Program Pembangunan Kebajikan Sosial, Kerohanian dan Pembangunan Komuniti, serta Pemboleh Daya, Tadbir Urus, Pengurusan Projek, Teknologi dan Komunikasi.

Show More

Related Articles

Back to top button