Berita Semasa

Majlis Biodiversiti Negara iktiraf Seladang spesies terancam

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Biodiversiti Negara kedua (MBN Ke-2) bersetuju mengiktiraf Seladang sebagai spesies terancam yang mempunyai kepentingan negara.

Pengiktirafan tersebut dibuat dalam MBN Ke-2 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof dan turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, semalam.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), bagi menstabilkan populasi Seladang di Malaysia, satu Pelan Pengurusan Konservasi Seladang akan dibangunkan.

“Biodiversiti merupakan khazanah negara yang sangat berharga dan memuliharanya adalah tanggungjawab kita bersama agar khazanah semula jadi negara dapat diwariskan kepada generasi masa depan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebagai rekod, Seladang dikategorikan daripada spesies lembu liar terbesar itu boleh mencecah berat melebihi 1,000 kilogram dan mempunyai jangka hayat hingga 25 tahun.

Dalam pada itu, sebanyak empat kertas pertimbangan dan enam kertas makluman telah dibentangkan dan MBN Ke-2 bersetuju dengan pertambahan ahli baharu MBN.

Ahli baharu tersebut termasuk Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Kerja Raya.

Selain itu, mesyuarat turut bersetuju menubuhkan Kumpulan Kerja Tematik bagi menggalakkan penglibatan pemegang taruh dalam pelaksanaan serta pemantauan kemajuan pelaksanaan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030.

Katanya, senarai induk kawasan perlindungan dan pengoperasian Kumpulan Kerja Kawasan Perlindungan di bawah Kerangka Kawasan Perlindungan Kebangsaan juga akan dikemas kini.

“MBN kedua bersetuju membangunkan Pelan Tindakan Bersama ‘One Health’ Kebangsaan dan menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan ‘One Health’ yang diselaraskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button