Berita Semasa

Lapan lapangan terbang kendalian MAHB perlu dinaik taraf

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan menerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengenal pasti lapan lapangan terbang yang perlu dinaik taraf bagi meningkatkan aspek keselamatan, keselesaan dan daya saing operasi.

Lapangan terbang tersebut adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Miri, Padang Terbang Bario, Lapangan Terbang Tawau, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Negara hari ini, MOT memaklumkan kaedah pembiayaan menaik taraf projek itu akan dilaksanakan melalui model pemulihan pelaburan yang akan dibincangkan dengan MAHB dan tertakluk kepada persetujuan kerajaan.

“Bagi memastikan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan di semua lapangan terbang seluruh negara, termasuk di Sarawak dalam keadaan selamat dan selesa, pihak Suruhanjaya Penerbangan Malaysia melaksanakan rangka kerja Kualiti Perkhidmatan secara berperingkat di semua lapangan terbang mulai September 2018,” katanya di Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara, Pele Peter Tinggom mengenai lapangan terbang di seluruh negara terutama di Sarawak yang perlu dinaik taraf, dibaik pulih dan diselenggara.

MOT berkata, langkah itu sejajar dengan hak diberikan kerajaan kepada MAHB untuk mengoperasi, mengurus, menyelenggara dan membangunkan sebanyak 39 lapangan terbang dan padang terbang di Malaysia bagi tempoh sehingga 2069 melalui dua perjanjian operasi yang dimeterai pada 18 Mac, 2024.

“Rangka kerja itu turut memperkenalkan penalti kewangan kepada pihak pengendali lapangan terbang yang gagal mematuhi standard ditetapkan.

“Kos pembangunan akan dibiayai oleh kerajaan melalui Peruntukan Pembangunan atau dibiayai MAHB yang membabitkan lapangan terbang kompetitif dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, MOT memaklumkan kos penyelenggaraan lapangan terbang kendalian MAHB di seluruh negara meningkat sebanyak 34 peratus pada tahun ini.

Show More

Related Articles

Back to top button