Jenayah & Mahkamah

Kes culik Albertine Leo: Motif hanya akan didedahkan setelah siasatan selesai

JOHOR BAHRU – Motif penculikan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui di tapak festival Bon Odori di Eco Galleria, Iskandar Puteri pada 20 Julai lalu, hanya akan didedahkan setelah siasatan selesai.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, jika ia didedahkan lebih awal, dikhuatiri tindakan itu akan mengganggu siasatan.

“Polis sudah sambung reman suspek dan saya akan memberi serta menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

“Ketika ini siasatan sedang berjalan dan saya tidak mahu mendedahkan apa-apa selagi siasatan tidak selesai, biar polis jalankan siasatan, selesai sahaja baru kami dedahkan maklumat seperti motif dan sebagainya.

“Kalau saya beritahu awal (motif kejadian culik) mungkin akan mengganggu proses siasatan dan setiap kejadian ada motifnya,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Tambahnya, berdasarkan laporan kesihatan, kanak-kanak itu dilaporkan selamat dan tiada kecederaan fizikal.

“Mangsa tiada kecederaan dan laporan kesihatan mengesahkan kanak-kanak itu selamat.

“Kejayaan menyelesaikan kes penculikan kanak-kanak ini adalah kejayaan signifikan yang direkodkan Polis Johor,” katanya lagi.

Semalam, suspek lelaki berusia 31 tahun yang ditahan bersama mangsa di sebuah bilik hotel murah di Batang Kali, Selangor pada 23 Julai lalu, disambung reman sehingga Ahad ini.

Empat suspek lain berusia 28 hingga 55 tahun yang ditahan sebelum itu direman empat hari sehingga Jumaat lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Show More

Related Articles

Back to top button