Berita Semasa

Kawal selia media sosial pastikan ekosistem digital lebih selamat

KUALA LUMPUR – Kerangka baharu kawal selia media sosial yang akan bermula pada 1 Ogos ini akan memastikan ekosistem digital negara lebih selamat kepada pengguna.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, susulan pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai kerangka garis panduan itu beliau telah ke Singapura untuk bertemu dengan penyedia platform-platform media sosial.

Katanya, kesempatan berada di negara itu juga diambil untuk berkongsi pengalaman dengan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Singapura, Josephine Teo.

“Kami antara lain berbincang tentang cabaran dan proses kawal selia media sosial Singapura yang telah pun dilaksanakan sejak 2 tahun lalu.

“Masih belum terlambat untuk kita pastikan penyedia media sosial bertanggungjawab terhadap kegiatan jenayah yang berlaku dalam landskap platform mereka.

“Langkah yang diambil ini bakal mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat, serta pengalaman lebih baik untuk para pengguna, terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga,” katanya dalam ciapan di aplikasi X.

MCMC baru-baru ini mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawa Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Langkah itu antaranya bertujuan mengekang penyebaran berita palsu, buli siber dan jenayah penipuan secara dalam talian yang semakin kerap berlaku.

 

Show More

Related Articles

Back to top button