Berita Semasa

Bapa kanak-kanak pandu kereta sudah dirakam keterangan

SEPANG – Pihak polis sudah mengambil keterangan bapa kepada kanak-kanak yang memandu sebuah kereta Perodua Viva sambil membawa adik-adiknya di sebuah taman perumahan, di sini malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, pihaknya telah menerima maklumat kejadian berkenaan yang berlaku di Taman Putra Impiana, Puchong, pada pukul 6.30 petang semalam.

Jelasnya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kelmarin sekitar pukul 8 malam apabila seorang kanak-kanak berusia 12 tahun memandu kereta milik bapanya dengan membawa dua adiknya berusia empat dan enam tahun.

“Waris yang merupakan bapa dan pemilik kenderaan telah berjaya dikesan oleh pihak polis.

“Dia kemudiannya tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Kamarul berkata, bapa dan kanak-kanak tersebut tiba di IPD Sepang sekitar pukul 11 malam tadi.

Menurut beliau, siasatan lanjut masih diteruskan oleh pihak polis.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi IPD Sepang,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan video inisden berkenaan turut menjadi tular di media sosial hingga mengundang pelbagai kecaman netizen.

Show More

Related Articles

Back to top button