Jenayah & Mahkamah

Pendengaran rayuan pembebasan Bung Moktar dan isteri ditangguh 9 Oktober

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini, hari ini menangguhkan pendengaran permohanan pihak pendakwaan pada 9 Oktober depan susulan pembebasan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette berhubung kes rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd.

Pendengaran rayuan oleh pihak pendakwaan sepatutnya didengar hari ini, namun mahkamah membenarkan penangguhan kerana salah seorang peguam bela sedang menjalani rawatan susulan pembedahan jantung baru-baru ini. 

Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah serta isterinya dibebaskan pada 7 September tahun lalu setelah Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan mereka terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan pasangan tersebut membela diri. Pendakwaan kemudian memfailkan rayuan pada 18 September.

Bung Moktar, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala isterinya didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Show More

Related Articles

Back to top button