Berita Semasa

Sumbangan syarikat arak, judi kepada sekolah Cina sejak zaman BN – Khaled Nordin

GOMBAK – Amalan sumbangan wang syarikat-syarikat minuman keras dan judi kepada sekolah-sekolah vernakular sudah diamalkan sejak pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, amalan tersebut kemudiannya diteruskan dalam pentadbiran kerajaan pada masa ini.

Menurut Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan, UMNO berpendapat, wang kerajaan yang diperoleh daripada hasil aktiviti perjudian dan arak tidak akan disumbangkan kepada masjid, sebaliknya ia akan disumbangkan kepada tokong dan sekolah vernakular.

“Soal syarikat-syarikat arak dan judi menyumbang kepada sekolah-sekolah vernakular dan sebagainya itu diamalkan Barisan Nasional (BN) dululah… sebab kita berpendapat duit kerajaan hasil judi dan arak jangan kita guna sumbang ke masjid…jadi kita beri kepada tokong beri kepada sekolah vernakular dan itulah amalan yang diteruskan oleh kerajaan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO), di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan media melaporkan isu berhubung sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina.

Rabu lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilaporkan akan memberikan penjelasan kepada Kabinet berhubung isu sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Sepang menerima sumbangan daripada syarikat minuman keras.

Ahad lalu, kontroversi tercetus apabila konsert amal pendidikan bertujuan membuat kutipan membina dewan sekolah itu yang didirikan sejak 30 tahun lalu, didapati turut membabitkan sumbangan dan tajaan sebuah syarikat arak.

Ia bagaimanapun menimbulkan kemarahan beberapa pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau dilaporkan menyokong Kementerian Pendidikan dan Fadhlina, yang melarang sumbangan membabitkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah dan minuman keras terhadap sekolah.

KPM dalam kenyataannya sebelum ini, memaklumkan memandang serius perkara itu dan sedang melakukan siasatan lanjut.

KPM turut mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan di bawahnya supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

Surat pekeliling KPM pada 29 Mac 2018 menyatakan sumbangan kepada sekolah-sekolah tidak boleh membabitkan syarikat arak, rokok, judi dan seumpamanya kerana boleh jejaskan potensi murid dari segi rohani, emosi dan jasmani.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled turut menempelak pembangkang yang mendiamkan diri mengenai isu sumbangan tersebut semasa mereka menjadi kerjaan terdahulu.

“Kalau itu tidak betul, mengapa semasa mereka (pembangkang) menjadi kerajaan mereka tidak hentikan amalan itu,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button