Berita Semasa

Pengambilalihan edaran gas: Sarawak beri masa tiga bulan kepada Petronas

KUCHING – Kerajaan Sarawak memberi tempoh lanjutan tiga bulan kepada Petronas untuk memuktamadkan susunan penyeliaan pengagihan gas di Sarawak dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, sebelum ini Sarawak memutuskan syarikat petroleum milik kerajaan Sarawak, Petros akan mengambil alih peranan dalam semua aktiviti jual beli gas asli di Sarawak bermula 1 Julai ini.

Bagaimanapun, Petronas meminta penangguhan pelaksanaan pengambil alihan itu kerana pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu akan terjejas.

“Kita beri tempoh tiga bulan kepada mereka untuk menyelesaikan isu ini sehingga 1 Oktober tahun ini.

“Itu sahaja tempoh yang kita beri, selepas itu kita akan meneruskannya (Petros akan mengambil alih peranan dalam semua aktiviti jual beli gas asli di Sarawak),” katanya memetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri upacara menaikkan bendera Sarawak, Ibu Pertiwi, di Dataran Ibu Pertiwi, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, di bawah Ordinan Pengagihan Gas, Petros diberi kuasa untuk menjalankan pengagihan gas di Sarawak.

Bagaimanapun katanya, perbincangan lanjut sedang berjalan antara Petros dan Petronas berhubung isu itu.

“Kami memahami kebimbangan Petronas dan menghormatinya, Sarawak juga mempunyai ekuiti di dalam loji LNG namun perkara lain berkaitan pengagihan gas semuanya sudah diselesaikan.

“Kami juga sudah menyelesaikan semua isu berkaitan dengan syarikat minyak dan gas lain, seperti Shell,” katanya.

Selain itu katanya, perbincangan mengenai penerokaan minyak dan gas sedang berjalan antara Petros dan syarikat minyak dan gas lain termasuk Shell.

Menurutnya, syarikat tenaga yang berpangkalan di Abu Dhabi, Mudabala, selain EXXON dan syarikat dari Turkiye turut menyatakan hasrat untuk terbabit dalam industri minyak dan gas di Sarawak.

Semalam, Business Times, melaporkan Petronas kini sedang berbincang dengan kerajaan Sarawak dan Persekutuan serta Petros untuk mencapai resolusi bersama mengenai pengagihan gas di Sarawak.

Menurut laporan itu, Petronas menekankan kepentingan semua pihak dan mengakui kekangan masing-masing untuk mencapai hasil yang memuaskan.

Baru-baru ini RHB Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya menjangkakan Petronas akan kehilangan sebahagian daripada hasil kerana tidak menjadi agregator gas tunggal di Sarawak.

Show More

Related Articles

Back to top button