Berita Semasa

Durian D190 keluaran MARDI setanding durian premium lain – Arthur Joseph Kurup

KUALA KANGSAR – Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, menyatakan keyakinannya bahawa durian variasi MDUR 88 (D190) hasil penyelidikan MARDI mampu menyaingi klon durian premium lain di pasaran.

“MDUR 88 lebih sedap berbanding blackthorn, berlemak seperti ais krim, jujur paling sedap pernah saya rasa,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.

Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja ke Duriotourism MARDI Kuala Kangsar, di mana beliau berpeluang merasai pelbagai jenis durian yang ditawarkan.

MARDI Kuala Kangsar atau lebih dikenali sebagai Duriotourism, mengetengahkan lima konsep utama iaitu teknologi, inovasi, pemuliharaan, pendidikan dan rekreasi (TICER).

Arthur berkata, salah satu objektif utama Duriotourism adalah untuk memindahkan teknologi durian MARDI kepada pengunjung yang melawat taman agro ini

“Pakej Duriotourism yang ditawarkan mengikut musim durian memberikan peluang unik kepada pengunjung untuk melawat ladang durian sebenar dengan menaiki tram, ditemani jurupandu berpengalaman dalam penanaman dan varieti durian.

“Pengunjung juga berpeluang menikmati buah-buahan terus dari ladang,” katanya lagi.

Lawatan bersama media kali ini turut memberi penerangan mengenai teknologi pengendalian lepas tuai durian segar.

Arthur berkata, durian sebagai buah bermusim, memerlukan teknologi khusus untuk memelihara dan memanjangkan jangka hayatnya semasa penyimpanan dan pemasaran.

“Jangka hayat durian matang dan gugur, terutamanya klon premium Musang King (D197) sangat pendek jika disimpan pada suhu persekitaran,” katanya lagi.

MARDI Kuala Kangsar telah diisytiharkan sebagai salah satu destinasi pelancongan dan dikenali sebagai Durio Tourism, sebuah pusat pelancongan berasaskan durian dan buah-buahan tropika dengan tema ‘dusun village’.

Lebih daripada 20 jenis durian klon dan kampung ditanam di sini, termasuk durian hibrid MARDI seperti MDUR 78 (D188), MDUR 78 (D189), dan MDUR 88 (D190) yang sering mendapat permintaan tinggi daripada pengunjung dan penanam durian di seluruh negara.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Pengerusi MARDI, Dr. Azman Ismail.

Show More

Related Articles

Back to top button