Berita Semasa

MCMC perkenal kerangka kawal selia Internet baharu

Berkuatkuasa 1 Januari 2025

CYBERJAYA – Kerajaan akan memperkenalkan satu kerangka kawal selia Internet yang baharu pada 1 Ogos tahun ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerangka yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2025 itu nanti selaras dengan keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial (social media services) dan perkhidmatan pesanan Internet (Internet messaging services) wajib mematuhi undang-undang Malaysia.

Langkah ini adalah bagi memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Menerusi kerangka baharu ini, semua perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan, dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588,” kata MCMC dalam kenyataan tersebut.

Sebelum ini, kata MCMC, platform-platform tersebut telah dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000.

“Kerangka kawal selia baharu tersebut hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak melibatkan pengguna.

“Langkah ini bakal mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat, serta pengalaman yang lebih baik untuk para pengguna, terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga,” kata MCMC lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button