
Ibu, anak perempuan ditahan reman kes siasatan pas IMM13
SANDAKAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mendapatkan perintah tahanan reman terhadap seorang ibu dan anak perempuannya kerana disyaki terlibat dalam kes pengeluaran pas lawatan IMM13.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 2 Ogos depan terhadap dua beranak itu dikeluarkan Majistret Marilyn Kelvin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sandakan, di sini pagi tadi.
Menurut sumber, suspek pertama berusia 50-an dipercayai melakukan perbuatan itu bersama anak perempuannya yang berusia 30-an.
Mereka berdua ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam ketika datang memberi kenyataan di pejabat SPRM, di sini.
“Kedua-dua ibu dan anak perempuan itu dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam menguruskan lanjutan permohonan pas lawatan IMM13 bagi pelarian dari Filipina yang mencari perlindungan di Sabah akibat pergolakan pada awal 1970-an.
“Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam perbuatan itu sejak 2022 membabitkan nilai rasuah berjumlah kira-kira RM20,000,” kata sumber itu lagi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lain akan dibuat susulan penahanan itu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |