Berita Semasa

Ia mengenai Pendidikan dan Kesihatan! – Dr. Maszlee

PUTRAJAYA – Isu mengenai promosi syarikat arak di dalam acara melibatkan sekolah perlu dilihat dalam konteks falsafah pendidikan kebangsaan, dan bukannya menerusi kanta politik, agama mahupun perkauman.

Bekas menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, beliau amat kesal membaca kenyataan Lim Guan Eng menempelak dan memperlekeh Menteri Pendidikan, Fadlina Siddik berhubung isu tersebut.

“Apa yang dilakukan Fadhlina adalah selari dengan keputusan kabinet, falsafah pendidikan kebangsaan, pekeliling KPM (Kementerian Pendidikan) sedia ada dan semangat MADANI yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan, iaitu mempromosikan gaya hidup sihat dalam pendidikan.

“Membenarkan syarikat arak dipromosikan secara besar-besaran di dalam acara melibatkan sekolah adalah tindakan membuka kotak Pandora untuk membenarkan industri tidak sihat lain untuk dipromosikan di dalam ranah pendidikan seperti industri tembakau, industri Vape, industri perjudian dan hiburan kelab malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Guan Eng tidak perlu melihat isu promosi arak di dalam acara melibatkan sekolah dari sudut politik, agama mahupun perkauman.

“Ianya berkaitan isu kesihatan, isu kesejahteraan hidup dan juga sivik,” kata Maszlee lagi.

Sementara itu, Maszlee turut berkata, penglibatan Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Atirah dalam acara yang sama adalah insiden yang memalukan dan menjatuhkan imej parti AMANAH yang beliau wakili dan juga rakyat parlimen Sepang yang telah memilih beliau.

“Islam Rahmah yang dibawa oleh parti AMANAH tidak pernah sekali-kali bermaksud menghalalkan arak dalam acara sekolah.

“Sewajarnya, jika beliau mempunyai maruah dan integriti, beliau meletakkan jawatan secara sukarela sebagai Ahli Parlimen secara terhormat dan juga meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita Amanah.

“Ia akan menjadi pengajaran kepada MP Amanah yang lain supaya lebih teliti, berhati-hati dan menjunjung prinsip Rahmah yang sebenar,” kata Maszlee lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button