AmJom RondaRencana

Keindahan panorama berputar dari Aras

KUALA LUMPUR – Pengalaman menikmati hidangan sambil melihat panorama indah ibu kota menanti pengunjung di Restoran berputar Aras yang terletak di Menara Kuala Lumpur.

Restoran yang berada pada ketinggian 282 meter dari aras tanah ini menawarkan pelbagai jenis hidangan buffet yang pasti memberikan pengalaman makan yang unik dan berbeza.

Setelah sekian lama ditutup, restoran ini kembali beroperasi sejak Januari lalu, membawa semula pengalaman unik kepada pengunjung.

Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan Menara Kuala Lumpur, Aemizureen Kamarudin berkata, Aras bukan sahaja menawarkan makanan yang enak tetapi juga pemandangan ibu kota yang memukau untuk dinikmati bersama keluarga dan rakan.

“Pengunjung dapat merasai pengalaman yang berbeza dengan apa yang ditawarkan di hotel-hotel mewah kerana Aras memberikan putaran pemandangan bersudut 360 darjah. Ini adalah sesuatu yang unik dan hanya boleh dirasai di sini,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.

Selain keenakan hidangan yang disajikan cef-cef berpengalaman, pengunjung juga dihiburkan dengan alunan lagu-lagu muzik sentimental yang menghidupkan lagi suasana romantis.

Aemizureen berkata, restoran Aras menawarkan harga buffet makan tengahari bermula dari RM169 untuk dewasa pada hari biasa dan RM189 pada hujung minggu.

Bagi kanak-kanak, harga bermula dari RM99 pada hari biasa dan RM109 pada hujung minggu.

“Istimewa buat pelanggan pada Julai ini, Aras menawarkan promosi diskaun 20% untuk makan tengahari,” katanya lagi.

Selain itu, restoran ini juga menyediakan hidangan hi-tea dengan harga bermula dari RM89 untuk dewasa pada hari biasa dan RM109 pada hujung minggu, sementara harga untuk kanak-kanak adalah RM49 pada hari biasa dan RM69 pada hujung minggu.

Bagi makan malam, harga bermula dari RM199 untuk dewasa pada hari biasa dan RM249 pada hujung minggu. Kanak-kanak boleh menikmati makan malam dengan harga RM119 pada hari biasa dan RM149 pada hujung minggu.

Untuk tempahan, orang ramai boleh menghubungi 011-2888 2020 atau menghantar e-mel kepada booking@aras.kltower.com.my.

Show More

Related Articles

Back to top button