Berita SemasaPolitik

BN nafi larangan 4 individu di pentas ceramah PRK Nenggiri

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menafikan mengeluarkan arahan larangan terhadap empat individu daripada muncul di pentas kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggeri, Kelantan.

BN dalam pengumumannya di Facebook berkata, kenyataan kononnya dikeluarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu adalah palsu dan bertujuan untuk memecah belahkan gabungan BN dalam Pakatan Harapan (PH).

Empat individu yang dinyatakan di dalam hebahan tersebut adalah Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain dan seorang pempengaruh yang dikenali sebagai Wan Hadi.

“Pihak Barisan Nasional adalah tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti berikut. Petikan seperti ini adalah mainan politik untuk memecah belahkan perpaduan di dalam kerajaan sekarang.

“Sesungguhnya segala kenyataan media rasmi hanya akan disiarkan di laman FB rasmi Barisan Nasional sahaja. Dan diharap semua tidak termakan dengan mainan politik seperti ini tiap kali apabila Pilihan Raya akan berlangsung.

Hebahan palsu yang tular sejak semalam.

Semoga semua pihak terus bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan berita palsu seperti ini lagi,” katanya.

PRK DUN Nenggiri ditetapkan pada 17 Ogos ini manakala tarikh penamaan calon adalah pada 3 Ogos.

BN sebelum ini mengumumkan Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon dalam PRK DUN Nenggeri.

Show More

Related Articles

Back to top button