Berita SemasaPolitik

Jangan sesekali lupakan penderitaan rakyat Palestin – Dr. Na’im

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengingatkan umat Islam di negara ini supaya tidak terus alpa dan lupa terhadap penderitaan yang dihadapi rakyat Palestin.

Beliau berkata, sebagai saudara seagama yang masih ditindas dengan kejam, perjuangan rakyat Palestin masih memerlukan bantuan dan sokongan rakyat Malaysia.

“Dalam segala nikmat yang kita ada di negara ini, jangan kita lupakan mereka. Kita kena terus dan sentiasa mengingati saudara-saudara kita di Palestin.

“Walaupun kita tidak mampu berjuang bersama mereka tapi kita lakukan mengikut daya upaya kita, sekurang-kurangnya dengan setiap hari mendoakan mereka,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran Sahabat Wakaf Korporat Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), di sini, hari ini.

Bagi tujuan itu juga Dr. Na’im menggesa umat Islam memanfaatkan kehebatan amalan doa seperti Qunut Nazilah.

“Di sinilah gunanya Qunut Nazilah, untuk tujuan yang kena pada tempatnya dan yang diperlukan ummah ketika ini.

“Alhamdulillah masjid-masjid di bawah kendalian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persektuan (Jawi) memang diselaraskan untuk adakan bacaan Qunut Nazilah setiap hari.

“Qunut Nazilah tidak sepatutnya dijadikan doa untuk kehancuran saudara seagama hanya kerana perbezaan fahaman politik,” katanya mengambil ibrar situasi yang berlaku di Malaysia baru-baru ini.

Sebahagian daripada 21 wakil agensi dan syarikat swasta yang diumumkan sebagai rakan strategik Yayasan Waqaf Malaysia pada majlis hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 21 agensi dan syarikat korporat diumumkan sebagai rakan strategik YWM melalui pelbagai bentuk kerjasama seperti penyediaan platform pewakafan, perkhidmatan teknologi maklumat, perkongsian kepakaran dan pembangunan projek–projek wakaf.

Dr. Na’im berkata, melalui inisiatif itu gerak kerja wakaf akan diperhebatkan lagi melalui pelaksanaan Pelan Induk Wakaf Nasional 2025 – 2030 yang sedang dirangka Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR)

Beliau berkata, di bawah pelan induk itu, YWM akan dijadikan sebagai agensi pusat untuk menyatukan dana wakaf di peringkat agensi Persekutuan, sektor korporat dan perbankan Islam yang mempunyai cawangan di seluruh negara.

Show More

Related Articles

Back to top button