Sukan

MOM perjelas isu 40 pegawai ke Olimpik Paris

KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini memberi penjelasan berkenaan peranan setiap pegawai yang dihantar ke Sukan Olimpik Paris 2024, bagi memastikan para atlet menerima sokongan optimum di acara sukan terbesar dunia ini.

Menurut kenyataan MOM, kontinjen Malaysia ke Paris terdiri daripada 26 atlet dan 40 pegawai, yang termasuk 15 pakar teknikal, 11 kakitangan sokongan, sembilan anggota pengurusan dan sekretariat, serta lima pengurus pasukan.

MOM menjelaskan bahawa 15 jurulatih dan pengarah teknikal bertanggungjawab dalam aspek latihan, pembangunan strategi, dan prestasi atlet.

“Bagi 11 kakitangan sokongan, mereka merangkumi pakar perubatan, ahli fisioterapi, tukang urut, jurulatih kecergasan, pegawai kesihatan mental, mekanik dan penganalisis prestasi bertujuan memastikan prestasi atlet berada pada tahap terbaik.

“Sekumpulan sembilan pegawai, diketuai oleh ketua kontinjen Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalannya Datuk Nicole David memainkan peranan penting dalam menguruskan pendaftaran atlet dan pegawai, logistik, hubungan media, keselamatan dan koordinasi dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan ISN Institut Sukan Negara (ISN) untuk memastikan operasi kontinjen berjalan lancar.

“Lima pengurus pasukan pula akan mengiringi atlet masing-masing dan menguruskan keperluan mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan yang sama memaklumkan, MOM sebagai penjaga Sukan Olimpik di Malaysia, dikehendaki oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk memastikan semua atlet negara menerima sokongan menyeluruh.

“Ini termasuk menyediakan jurulatih, pakar teknikal, dan pelbagai perkhidmatan penting untuk mengoptimumkan prestasi. Pembiayaan disediakan sebahagiannya oleh badan-badan IOC dengan sumbangan tambahan dari MSN dan ISN.

“MOM juga ingin menegaskan bahawa semua perbelanjaan dirancang dengan teliti bagi memastikan kejayaan atlet negara. Pakaian rasmi dan bagasi yang menjadi perhatian ditaja sepenuhnya oleh rakan kongsi lama kami, Yonex Sunrise Malaysia dan Samsonite Malaysia, memastikan tiada beban kewangan tambahan ke atas MOM atau atlet,” tambah kenyataan itu.

Terdahulu, beberapa pihak mempersoalkan bilangan 40 pegawai yang akan dihantar ke Olimpik Paris yang lebih ramai berbanding hanya 26 atlet yang layak beraksi di temasya itu, dan menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan pembaziran wang rakyat.

Show More

Related Articles

Back to top button