Berita Semasa

KPM siasat sekolah terima sumbangan syarikat minuman keras

 

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menyiasat dakwaan penganjuran program amal di sebuah sekolah yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras seperti dilaporkan media, baru-baru ini.

Menurut KPM, pihaknya mengambil perhatian serius dan mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan di bawahnya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

KPM mengalu-alukan usaha sekolah untuk menganjurkan program dan mendapatkan sumbangan bagi tujuan pembangunan, namun perlu mematuhi garis panduan selari dengan inisiatif Sekolah Milik Masyarakat.

“Namun, ini perlu dilaksanakan berdasar kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018.

“Ia melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,” kata KPM dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) menerima sumbangan daripada sebuah syarikat arak yang merupakan salah satu penyumbang semasa Konsert Amal Pendidikan.

Usaha itu dikatakan bagi mengumpul dana membina dewan di sekolah itu.

Dalam pada itu, KPM sentiasa proaktif menangani gejala sosial dalam kalangan generasi muda.

Jelasnya, pelbagai program kesedaran dan pendidikan pencegahan dianjurkan di sekolah bertujuan untuk memberi bimbingan kepada murid.

Show More

Related Articles

Back to top button