Berita Semasa

Ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang berjaya temui Albertine

JOHOR BAHRU – Kehilangan kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri, kelmarin, mendorong seorang pemilik kafe menawarkan wang ganjaran kepada mana-mana individu yang berjaya membantu kepada penemuan kanak-kanak perempuan itu.

Pemilik sebuah kafe di sini yang dikenali sebagai Phang berkata, dia menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000 kepada sesiapa yang berjaya berbuat demikian.

“Sesiapa yang berjaya bantu hingga kanak-kanak itu ditemui, boleh ke Six Cafe Borneo yang beralamat di Taman Stulang Laut untuk ambil duit RM10,000,” tulisnya dalam satu hantaran di media sosial yang menjadi tular, hari ini.

Phang menambah, pihak berkenaan juga boleh menghubunginya di talian 011-36693611.

Terdahulu, kehilangan Albertine Leo turut mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau dilaporkan turut berkongsi hantaran yang tular itu di platform media sosial rasmi beliau dalam usaha membantu mengesan kanak-kanak berkenaan.

Laporan media sebelum ini menyebut, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan sebagai berkata, kali terakhir kanak-kanak itu dilihat berpakaian baju T berwarna putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ di bahagian dada dan berseluar pendek.

“Lokasi terakhir kanak-kanak berusia enam tahun itu dikesan adalah di Eko Galleria 3, Jalan Eko Botani 3/2, Taman Botani,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button