Berita Semasa

Fasa Latihan Lanjutan PLKN 3.0 guna modul khas – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Anggota angkatan simpanan dan badan sukarelawan yang bakal menjalani Fasa Latihan Lanjutan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan menggunakan modul latihan yang akan dibangunkan secara khas.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Fasa Latihan Lanjutan itu adalah terbuka kepada mereka yang berumur 17 hingga 35 tahun dengan latihan berbentuk intensif, lapangan dan praktikal.

Katanya, antara badan sukarela dan anggota simpanan yang akan menyertai fasa latihan tersebut termasuklah daripada kumpulan polis bantuan, bomba bantuan, Anggota Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Rukun Tetangga dan sebagainya.

“Jadi untuk fasa lanjutan ini, semua mereka ini akan kita pastikan menyertai modul-modul latihan PLKN sama ada dari aspek kenegaraan ataupun dari aspek ketenteraan supaya mereka ini terdiri daripada mereka yang akan dapat manfaat daripada modul-modul PLKN yang kita bangunkan,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman mengenai pelaksanaan di peringkat Fasa Latihan Lanjutan PLKN.

PLKN 3.0 akan dijalankan menerusi tiga fasa bermula dengan Fasa Pra-PLKN yang akan diperkenalkan pada peringkat sekolah sebagai persiapan mereka menjalani latihan khidmat negara selepas berusia 17 tahun.

Menurut Khaled, program tersebut akan melibatkan pelajar-pelajar di Tingkatan 4 sahaja dan dilaksanakan semasa kegiatan kokurikulum.

“Program Pra-PLKN ini berpandukan Program Pembinaan Karakter Generasi Madani (GenMadani) yang dibangunkan dan disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.

Bagi Fasa Asas pula, remaja berusia 17 tahun dan ke atas akan dipilih untuk menjalani latihan asas di kem Askar Wataniah, universiti awam dan beberapa politeknik menggunakan Modul Asas Kenegaraan sebanyak 30 peratus dan Modul Asas Ketenteraan sebanyak 70 peratus.

Selain itu, Khaled berkata, pelatih PLKN juga diberi peluang untuk menjalani latihan lanjutan pada Fasa Lanjutan sekiranya berminat.

Show More

Related Articles

Back to top button