Sukan

Atlet memanah SSMP, Boy bertekad bawa pulang pingat emas acara recurve MSSM

PUTRAJAYA – Diletakkan sebagai peserta bukan pilihan, pemanah berusia 13 tahun berjaya mengejutkan 48 orang peserta lain dalam pertandingan memanah Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya (MSSWP) bagi acara recurve 15 tahun ke bawah.

Dalam temasya yang berlangsung dari 16 Julai hingga 19 Julai lalu itu, Muhammad Afza Mohd Amir Khusairi turut diumumkan sebagai pemanah lelaki terbaik bagi kategori tersebut.

Muhammad Afza yang sinonim dengan panggilan Boy telah berjaya mengutip mata keseluruhan kejohanan hampir 1,200 mata apabila memenangi pingat perak acara 60 meter, pingat emas acara 40 meter, pingat emas acara 30 meter, pingat emas acara Olympic Round (OR) dan tempat kedua (perak) acara beregu campuran.

Boy yang kini menuntut di tingkatan satu Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) turut memaklumkan rasa terkejut dan tidak menyangka dengan keputusan tersebut memandangkan ini merupakan kali pertama dia menyertai acara bagi kategori 15 tahun ke bawah.

Muhammad Afza Mohd Amir Khusairi diumumkan sebagai pemanah lelaki terbaik kategori recurve bawah 15 tahun MSSWP

“Saya berazam untuk memberikan saingan sengit kepada para peserta Pertandingan Memanah Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) tahun ini bagi kategori 15 tahun ke bawah yang akan berlangsung di Johor pada bulan September nanti,” katanya.

Dalam pada itu anak ketiga daripada empat orang adik beradik ini turut bertekad untuk membawa pulang pingat emas sempena kejohanan berkenaan.

Ia sekaligus membuka ruang untuknya terpilih sebagai atlet pelapis yang akan mewakili negara suatu hari nanti.

Show More

Related Articles

Back to top button