Berita Semasa

Semua pelajar Malaysia di Bangladesh dalam keadan selamat – Kementerian Luar

PUTRAJAYA – Semua pelajar Malaysia yang berada di di Dhaka, Bangladesh berada dalam keadaan selamat setakat pukul 4 petang semalam.

Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan malam tadi, terdapat 95 pelajar Malaysia di Bangladesh, dan dua pelajar telah meninggalkan Dhaka baru-baru ini dengan bantuan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sana.

“Usaha sedang dilakukan untuk membawa pulang empat pelajar daripada Kolej Perubatan Mymensingh ke Malaysia, manakala sekumpulan pelajar telah dipindahkan ke penginapan sementara,” kata kenyataan itu.

Buat masa ini, perkhidmatan Internet di Bangladesh mengalami gangguan meluas, tetapi perkhidmatan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) masih beroperasi.

Ahli keluarga terdekat pelajar Malaysia di Dhaka boleh menghubungi Bilik Perhubungan Kementerian Luar di talian +603 8887 4570.

Kata kenyataan itu lagi, pihak kementerian sedang memantau situasi di negara tersebut secara aktif dan menggesa semua rakyat Malaysia yang menetap di Bangladesh supaya mengelakkan kawasan protes, kekal berwaspada, dan mematuhi nasihat keselamatan serta kemas kini yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Semua pihak turut diminta bertenang dan bersabar sementara Suruhanjaya Tinggi berusaha sedaya upaya untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di kawasan berkenaan, katanya.

“Suruhanjaya Tinggi sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkuasa tempatan untuk melindungi keselamatan dan kepentingan pelajar Malaysia di kawasan terjejas,” katanya lagi.

Sekurang-kurangnya 45 orang dilaporkan terbunuh dan lebih daripada 2,000 orang lain cedera dalam protes ganas pelajar yang sedang berlangsung terhadap sistem kuota pekerjaan awam di Bangladesh sejak Selasa.

Show More

Related Articles

Back to top button